Wednesday, 17 February 2016

KESIMPULAN


   Perpaduan kaum adalah matlamat penting yang ingin dicapai oleh semua negara di dunia termasuk Malaysia. Ia penting kerana tampa perpaduan, sebuah negara itu akan menjadi lemah, sukar untuk di bangunkan dan mudah di ancam sama ada oleh kuasa luar atau dalam negara itu sendiri.

    Rukun Negara dicipta ekoran daripada rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969. Tragedi ini telah menyedarkan kita semua, yakni rakyat Malaysia akan bertapa pentingnya bersatu padu dan hidup dengan aman dan damai serta menghindari sifat curiga-mencurigai antara satu sama lain.

    Mengamalkan Rukun Negara akan melahirkan masyarakat yang bersatu padu, bermuhibah tampa mengira kaum serta bersikap saling hormat menghormati di antara satu sama lain. Melalui perpaduan akan dapat membantu negara kita mempertingkatkan dan mempergiatkan lagi pertumbuhan ekonomi, mengekalkan kestabilan politik dan sistem pemerintahan negara yang bersifat liberal dan demokratik.
            

RUKUN NEGARA SEBAGAI ETIKA, FALSAFAH DAN IDEOLOGI

 
Asas keturunan hidup bermasyarakat ialah permuafakatan dan perpaduan yang melambangkan wujudnya `kesatuan hati'. Perpecahan dan persengketaan pula menyebabkan anggota masyarakat itu akan sentiasa bergelut dengan tarikan yang berbeza arah. Ini bermakna `konflik' yang tidak berkesudahan akan menghantui kehidupan masyarakat. Justeru, bagi membentuk sebuah negara yang padu mesti ada etika dan falsafah kenegaraan yang dapat membina kecintaan (patriotisme), kesetiaan, permuafakatan dan perpaduan rakyatnya.
    Di negara kita, kerajaan menggubal Rukun Negara sebagai falsafah, etika dan ideologi (doktrin) negara. Sewajarnyalah setiap rakyat memahami latar belakang, objektif dan prinsip Rukun Negara itu.        
    Dari segi latar belakangnya, Rukun Negara digubal selepas berlaku peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Peristiwa itu mendorong pemimpin negara daripada pelbagai kaum memikirkan formula bagi memulihkan perpaduan kaum yang lebih utuh dan kental. 
   Tun Abdul Razak Hussein yang mengetuai Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ketika itu menubuhkan tiga badan iaitu Majlis Muhibah Negara, Jabatan Perpaduan Negara dan Majlis Perundingan Negara. Hasil perbincangan yang diadakan oleh Majlis Perundingan Negara (MPN), lahirlah Rukun Negara. Ia digubal sebagai satu bentuk garis panduan dalam membina masyarakat bersatu padu, adil dan harmoni.
      Ideologi negara ini diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos 1970, iaitu ketika negara menyambut Hari Kemerdekaan kali ke-13. Sejak diperkenalkan, Rukun Negara menjadi dasar kesatuan dan perpaduan bangsa serta pedoman bagi kegiatan hidup masyarakat pelbagai kaum dan budaya di negara ini.
   Rukun Negara mempunyai lima objektif, iaitu untuk mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat; memelihara cara hidup demokratik; mencipta satu masyarakat yang adil supaya kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama; membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan pelbagai corak dan untuk membina sebuah masyarakat progresif dengan menggunakan sains dan teknologi moden.
   Lima prinsip Rukun Negara pula ialah Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan undang-undang dan Kesopanan dan kesusilaan. Prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara harus dilihat dan difahami sebagai nilai kenegaraan yang sangat mendasar dan ia mesti difahami dan dihayati dengan penuh komitmen, kesedaran dan penghayatan oleh setiap rakyat di negara ini.                             
                               



Thursday, 11 February 2016

MATLAMAT DAN KEPENTINGAN RUKUN NEGARA KEPADA NEGARA

1.Mencapai Perpaduan yang Lebih Erat.

Semua rakyat hendaklah mendukung cita-cita untuk membentuk satu bangsa dan negara di mana ahli–ahli masyarakatnya menganggap diri mereka sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan kepercayaan masing-masing. Rakyat negara ini terdiri daripada pelbagai kaum dengan berbagai-bagai persoalan yang wujud. Keadaan ini bertambah rumit lagi kerana wujud ketidakseimbangan ekonomi antara kaum. Sungguhpun wujud unsur-unsur perbezaan ini, melalui Rukun Negara akan dapat membentuk satu bangsa yang bersatupadu di mana semua rakyat tampa mengira kaum mempunyai semangat kesetiaan dan perasaan cinta terhadap negara.

2.Memelihara Satu Cara Hidup Demokratik.

Pelembagaan negara menjamin kebebasan hak asasi dan kebebasan kegiatan-kegiatan berpolitik rakyat negara ini asalkan tidak melanggar undang-undang negara. Tetapi hak-hak serta kebebasan yang diberikan ini tidak boleh disalah gunakan atas nama demokrasi untuk membakar perasaan perkauman atau bagi memusnahkademokrasi. Apabila berlaku sebarang masalah yang melanda negara, kepentingan bangsa dan negara mestilah didahulukan. Kepentingan negara hendaklah di utamakan lebih daripada kepentingan sesuatu kaum atau sesuatu tidak, jika hendak, kestabilan dan keselamatan negara akan terancam.


3.Mencipta Sebuah Masyarakat Yang Adil.

Semua anggota masyarakat mempunyai peluang yang sama untuk menikmati kekayaan negara. Masyarakat yang adil akan wujud di negara ini jika kekayaan negara dibahagikan adil dan saksama. Bagi mencapai tujuan ini pihak-pihak yang lemah akan dibantu supaya mereka mempunyai peluang yang sama untuk bersaing dengan pihak-pihak yang lain yang lebih maju. Masyarakat adil yang kita cita-cita kan itu bebas daripada penindasan seseorang terhadap yang lain ataupun penindasan sesuatu golongan terhadap yang lain.

4.Membentuk Satu Sikap Yang Liberal

Masyarakat negara ini bebas mengamalkan agama dan adat resam serta kebudayaan masing-masing sesuai dengan matlamat perpaduan negara. kita sesungguhnya mempunyai kekayaan dari segi kebudayaan dan adat resam yang Negara diamalkan oleh masyarakat pelbagai kaum.Walaupun ada perbezaan, semua anggota masyarakat hendaklah bercita-cita untuk mewujudkan satu masyarakat di mana keadaan berlainan kebudayaan itu boleh menguntungkan dan menjadi sumber kekuatan kepada bangsa dan negara Malaysia.

5. Membina Sebuah Masyarakat Progresif.

Kita  bercita-cita hendak mewujudkan sebuah masyarakat progresif yang mencapai kemajuan di bidang sains dan teknologi selaras dengan perkembangan teknologi terkini serta dunia tanpa sempadan dan era globalisasi. Dunia kini sedang menyaksikan perubahan-perubahan yang begitu cepat dalam bidang ilmu pengetahuan, sains dan teknologi. Masyarakat progresif yang hendak diwujudkan merupakan  satu  masyarakat yang bergerak maju sejajar dengan kemajuan sains dan teknologi yang akhirnya akan  menjadikan Malaysia sebuah  negara  maju sebagaimana  matlamat   Wawasan  2020.

Tuesday, 2 February 2016

LIMA PRINSIP RUKUN NEGARA


1)  KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
     Prinsip ini menggambarkan bahawa asas kehidupan beragama merupakan prinsip penting kehidupan rakyat di negara kita. Sebarang bentuk ideologi atau ajaran yang menolak kepercayaan kepada Tuhan (atheis) seperti fahaman komunis tidak akan mendapat tempat di negara ini. Ini adalah kerana agama telah menjadi unsur penting dalam membentuk rohani (spiritual) masyarakat kita.
    Di dalam Perlembagaan Persekutuan sendiri menetapkan bahawa Islam adalah agama rasmi Persekutuan dan kepercayaan atau agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas. Prinsip Kepercayaan kepada Tuhan seharusnya dapat menerapkan kepercayaan beragama secara positif yang boleh membangun “pemikiran luhur” dalam hubungan pelbagai kaum serta dapat membina jati diri yang padu.
   Setiap penganut agama sewajarnya menjadikan agama masing-masing sebagai asas membina keharmonian dan perpaduan, bukannya menggunakan agama sebagai alat mencipta permusuhan. Justeru, semua kepercayaan agama di negara ini harus menolak sebarang bentuk ekstremisme agama, sebaliknya mengamalkan fahaman kesederhanaan yang dapat menyubur sikap persefahaman dan bertolak ansur atau saling bertoleransi.

2) KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
      Di negara kita, Raja dan Negara mempunyai kaitan yang sangat rapat. Ini adalah kerana negara kita mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan Raja berpelembagaan. Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) adalah ketua negara. Perkara 44 pula menyebut bahawa YDPA adalah sebahagian daripada komponen yang membentuk Parlimen di negara ini.
      Justeru, prinsip kesetiaan dan ketaatan kepada Raja dan Negara menjadi unsur dan ciri penting dalam soal kewarganegaraan di negara ini. Setiap warganegara Malaysia perlu menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Yang Dipertuan Agong dan negara. Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada raja yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong. Penghayatan terhadap prinsip kedua mampu membentuk satu bangsa Malaysia yang patriotik dan bersatu padu kerana Raja adalah “payung negara” yang menaungi seluruh rakyat di negara ini. Justeru, institusi raja tidak boleh dicemari, diperlekeh atau dihina serta ia tidak wajar dipolitikkan sama sekali.


3)KELUHURAN PERLEMBAGAAN
     Perlembagaan Malaysia dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan. Prinsip Keluhuran Perlembagaan bermaksud ketinggian dan keagungan undang-undang atau perlembagaan itu sendiri. Keluhuran Perlembagaan Malaysia terletak kepada kedudukannya sebagai undang-undang tertinggi yang menjadi sumber dan punca kepada semua undang-undang seperti yang disebut dalam Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan.
     Perlembagaan menjadi asas penting untuk menjamin keadilan, kerjasama, kesepakatan dan kepentingan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Setiap rakyat mempunyai kedudukan atau taraf yang sama di sisi undang-undang. Justeru, perlembagaan memberi jaminan terhadap hak asasi, kebebasan rakyat dan keadilan sosial untuk semua kaum di negara. Badan yang dipertanggungjawabkan memelihara keluhuran dan ketinggian perlembagaan ialah badan kehakiman. Badan ini berkuasa menentukan kesahihan sesuatu undang-undang.


4) KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
    Setiap negara mempunyai undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman, tenteram, stabil dan makmur. Justeru, kedaulatan undang-undang menjadi elemen penting bagi memastikan undang-undang berjalan dengan lancar. Kedaulatan undang-undang bermaksud setiap rakyat adalah sama tarafnya di sisi undang-undang negara tanpa sebarang driskiminasi kaum, gender mahupun kedudukan (status sosial).
     Oleh itu, keadilan merupakan elemen penting dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.Kuasa kedaulatan dalam konteks undang-undang adalah merujuk kepada autoriti perundagan ynag paling tinggi iaitu Perlembagaan Negara. Badan untuk menegakkan kedaulatan undang-undang pula dijamin pula oleh institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa. Ini penting bagi menjamin kebebasan asasi semua warganegara Malaysia.
     Namun, kebebasan asasi tidak bermakna kita bebas melakukan apa sahaja sehingga melanggar undang-undang dan Perlembagaan Negara. Misalnya, adalah menyalahi undang-undang dan Perlembagaan Negera apabila ada pihak yang mahu menggulingkan kerajaan sama ada dengan kekerasan atau dengan cara-cara yang tidak menurut Perlembagaan kerana ia bukan termasuk dalam pengertaian kebebasan dan hak asasi. Didalam Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyebut bahawa undang-undang menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam dan sebagainya.


5) KESOPANAN DAN KESUSILAAN
   Prinsip ini mempunyai kaitan yang rapat dengan perkembangan dan pembangunan personaliti individu yang seharusnya dibina sejak kecil lagi. Prinsip ini juga berkait rapat dengan nilai-nilai moral dan akhlak masyarakat. Prinsip ini mesti menjadi panduan seluruh masyarakat supaya perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai dengan kemajuan dan pembangunan tamadun negara yang berasaskan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni.
    Kehidupan yang bersusila dan bersopan santun amat penting dalam konteks perhubungan etnik, terutama dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Dalam konteks ini, setiap warga negara sewajarnya tahu menghormati orang lain dengan mengawal diri daripada membangkitkan persoalan-persoalan sensitif kepada sesuatu kaum berkaitan kewarganegaraannya, asal keturunannya, bahasa, kebudayaan serta kepercayaan dan agam yang dianutinya.
    Kerajaan amat prihatin untuk membentuk masyarakat yang bersopan santun, berdisiplin dan bermoral tinggi. Justeru, kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni yang dianjurkan kerajaan adalah bertujuan mewujudkan sebuah masyarakat yang memiliki sifa-sifat mulia, beradab, bersopan santun, bertoleransi, saling memahami dan cintakan kedamaian. Ia selari dengan prinsip kelima Rukun negara itu.
    Kesimpulan, Rukun Negara harus dilihat sebagai ‘internal cohesion’ atau kuasa dalaman yang dapat mengikat perpaduan dan semangat patriotisme di kalangan rakyat. Objektif dan prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara itu masih releven untuk membentuk jati diri dan keperibadian rakyat.

Monday, 1 February 2016

KENAPA RUKUN NEGARA DIBENTUK


Selepas Malaysia meredeka dan mula dibangunkan,sedikit demi sedikit jurang antara kemewahan bandar dan kemiskinan desa,kemewahan orang bukan melayu dengan kesempitan hidup orang melayu yang meyebabkan rasa tidak puas hati di antara rakyat .Ini menyebabkan beberapa kekacauan serta perbalahan yang melibatkan kaum berlainan berlaku di beberapa kawasan di Tanah melayu .Apabila berlakunya peristiwa berdarah 13 Mei 1969,kerajaan melihat perlunya satu formula untuk mengatasi masalah ini.

  Di antara Objektif Rukun Negara adalah untuk mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakat, mencipta satu masyarakat yang adil supaya kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama.Majlis Perundangan Negara yang dipengerusikan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak bin Hussein (merangkap Pengarah MAGERAN) telah ditubuhkan di bawah Undang-undang Darurat yang diwartakan pada 29 Januari 1970, hasil daripada mesyuarat MAGERAN yang mentadbir negara ketika itu. Ianya di anggotai oleh Pengerusi, tiga orang menteri (Allahyarham Tun Dr. Ismail bin Dato' Abdul Rahman, mendiang Tun Tan Siew Sin dan mendiang Tun V.T Sambanthan ), wakil-wakil kerajaan negeri dan wakil-wakil daripada parti politik.
        Majlis Perundingan Negara bertanggungjawab menjadi pemikir dalam merangka perpaduan negara dan mencari satu cara yang mampu untuk mengatasi garis pemisah antara kaum. Dengan itu, maka lahirnya satu ideologi kebangsaan yang baru iaitu Rukun Negara yang digubal sebagai falsafah negara dan pendekatan baru ke arah mewujudkan sebuah negara bangsa yang stabil.   

 

Saturday, 30 January 2016

PENGENALAN



 Perpecahan dan persengketaan pula menyebabkan anggota masyarakat itu akan sentiasa bergelut dengan tarikan yang berbeza  arah.Ini bermakna “konflik”yang tidak berkesudahan akan menghantui kehidupan masyarakat.
Justeru, bagi membentuk  sebuah negara yang padu mesti ada etika dan falsafah kenegaraan  yang dapat membina kecintaan (patriotisme), kesetiaan,  permuafakatan dan perpaduan rakyatnya.

  Di negara kita, kerajaan telah menggubal Rukun Negara sebagai falsafah, etika dan ideologi (doktrin) negara. Sewajarnyalah setiap rakyat memahami latar belakang, objektif dan prinsip Rukun Negara itu. Dari segi latar belakangnya, Rukun Negara digubal setelah berlakunya peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Peristiwa tersebut telah mendorong pemimpin negara dari pelbagai kaum memikirkan satu formula bagi memulihkan perpaduan kaum yang lebih utuh dan kental.

  Rukun Negara digubal sebagai satu bentuk garis panduan dalam membina masyarakat yang bersatu padu, adil dan harmoni. Rukun Negara telah menjadi dasar kesatuan dan perpaduan bangsa serta pedoman bagi kegiatan hidup masyarakat pelbagai kaum dan budaya di negara ini.

 Rukun Negara mempunyai lima objektif, iaitu: untuk mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakat; memelihara cara hidup demokratik; mencipta satu masyarakat yang adil supaya kemakmuran negara dapat dinikmati bersama  secara adil dan saksama; membentuk satu sikap yang liberal  terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai-bagai corak;  dan, untuk membina sebuah masyarakat progresif dengan  menggunakan sains dan teknologi moden.