Asas keturunan hidup bermasyarakat ialah permuafakatan dan perpaduan yang melambangkan wujudnya `kesatuan hati'. Perpecahan dan persengketaan pula menyebabkan anggota masyarakat itu akan sentiasa bergelut dengan tarikan yang berbeza arah. Ini bermakna `konflik' yang tidak berkesudahan akan menghantui kehidupan masyarakat. Justeru, bagi membentuk sebuah negara yang padu mesti ada etika dan falsafah kenegaraan yang dapat membina kecintaan (patriotisme), kesetiaan, permuafakatan dan perpaduan rakyatnya.
Di negara kita, kerajaan menggubal Rukun Negara sebagai falsafah, etika dan ideologi (doktrin) negara. Sewajarnyalah setiap rakyat memahami latar belakang, objektif dan prinsip Rukun Negara itu.
Dari segi latar belakangnya, Rukun Negara digubal selepas berlaku peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Peristiwa itu mendorong pemimpin negara daripada pelbagai kaum memikirkan formula bagi memulihkan perpaduan kaum yang lebih utuh dan kental.
Tun Abdul Razak Hussein yang mengetuai Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ketika itu menubuhkan tiga badan iaitu Majlis Muhibah Negara, Jabatan Perpaduan Negara dan Majlis Perundingan Negara. Hasil perbincangan yang diadakan oleh Majlis Perundingan Negara (MPN), lahirlah Rukun Negara. Ia digubal sebagai satu bentuk garis panduan dalam membina masyarakat bersatu padu, adil dan harmoni.
Tun Abdul Razak Hussein yang mengetuai Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ketika itu menubuhkan tiga badan iaitu Majlis Muhibah Negara, Jabatan Perpaduan Negara dan Majlis Perundingan Negara. Hasil perbincangan yang diadakan oleh Majlis Perundingan Negara (MPN), lahirlah Rukun Negara. Ia digubal sebagai satu bentuk garis panduan dalam membina masyarakat bersatu padu, adil dan harmoni.
Ideologi negara ini diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos 1970, iaitu ketika negara menyambut Hari Kemerdekaan kali ke-13. Sejak diperkenalkan, Rukun Negara menjadi dasar kesatuan dan perpaduan bangsa serta pedoman bagi kegiatan hidup masyarakat pelbagai kaum dan budaya di negara ini.
Rukun Negara mempunyai lima objektif, iaitu untuk mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat; memelihara cara hidup demokratik; mencipta satu masyarakat yang adil supaya kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama; membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan pelbagai corak dan untuk membina sebuah masyarakat progresif dengan menggunakan sains dan teknologi moden.
Lima prinsip Rukun Negara pula ialah Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan undang-undang dan Kesopanan dan kesusilaan. Prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara harus dilihat dan difahami sebagai nilai kenegaraan yang sangat mendasar dan ia mesti difahami dan dihayati dengan penuh komitmen, kesedaran dan penghayatan oleh setiap rakyat di negara ini.
No comments:
Post a Comment