1) KEPERCAYAAN KEPADA
TUHAN
Prinsip ini
menggambarkan bahawa asas kehidupan beragama merupakan prinsip penting
kehidupan rakyat di negara kita. Sebarang bentuk ideologi atau ajaran yang
menolak kepercayaan kepada Tuhan (atheis) seperti fahaman komunis tidak akan
mendapat tempat di negara ini. Ini adalah kerana agama telah menjadi unsur
penting dalam membentuk rohani (spiritual) masyarakat kita.
Di dalam
Perlembagaan Persekutuan sendiri menetapkan bahawa Islam adalah agama rasmi
Persekutuan dan kepercayaan atau agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas.
Prinsip Kepercayaan kepada Tuhan seharusnya dapat menerapkan kepercayaan
beragama secara positif yang boleh membangun “pemikiran luhur” dalam hubungan
pelbagai kaum serta dapat membina jati diri yang padu.
Setiap penganut
agama sewajarnya menjadikan agama masing-masing sebagai asas membina
keharmonian dan perpaduan, bukannya menggunakan agama sebagai alat mencipta
permusuhan. Justeru, semua kepercayaan agama di negara ini harus menolak
sebarang bentuk ekstremisme agama, sebaliknya mengamalkan fahaman kesederhanaan
yang dapat menyubur sikap persefahaman dan bertolak ansur atau saling
bertoleransi.
2) KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
Di negara kita,
Raja dan Negara mempunyai kaitan yang sangat rapat. Ini adalah kerana negara
kita mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan Raja berpelembagaan. Perkara
32 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong
(YDPA) adalah ketua negara. Perkara 44 pula menyebut bahawa YDPA adalah
sebahagian daripada komponen yang membentuk Parlimen di negara ini.
Justeru, prinsip
kesetiaan dan ketaatan kepada Raja dan Negara menjadi unsur dan ciri penting
dalam soal kewarganegaraan di negara ini. Setiap warganegara Malaysia perlu
menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Yang Dipertuan Agong dan
negara. Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat setia
kepada raja yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa
mengurangkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong. Penghayatan terhadap
prinsip kedua mampu membentuk satu bangsa Malaysia yang patriotik dan bersatu
padu kerana Raja adalah “payung negara” yang menaungi seluruh rakyat di negara
ini. Justeru, institusi raja tidak boleh dicemari, diperlekeh atau dihina serta
ia tidak wajar dipolitikkan sama sekali.
3)KELUHURAN PERLEMBAGAAN
Perlembagaan
Malaysia dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan. Prinsip Keluhuran
Perlembagaan bermaksud ketinggian dan keagungan undang-undang atau perlembagaan
itu sendiri. Keluhuran Perlembagaan Malaysia terletak kepada kedudukannya
sebagai undang-undang tertinggi yang menjadi sumber dan punca kepada semua
undang-undang seperti yang disebut dalam Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan.
Perlembagaan
menjadi asas penting untuk menjamin keadilan, kerjasama, kesepakatan dan
kepentingan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Setiap
rakyat mempunyai kedudukan atau taraf yang sama di sisi undang-undang. Justeru,
perlembagaan memberi jaminan terhadap hak asasi, kebebasan rakyat dan keadilan
sosial untuk semua kaum di negara. Badan yang dipertanggungjawabkan memelihara
keluhuran dan ketinggian perlembagaan ialah badan kehakiman. Badan ini berkuasa
menentukan kesahihan sesuatu undang-undang.
4) KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
Setiap negara
mempunyai undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang
aman, tenteram, stabil dan makmur. Justeru, kedaulatan undang-undang menjadi
elemen penting bagi memastikan undang-undang berjalan dengan lancar. Kedaulatan
undang-undang bermaksud setiap rakyat adalah sama tarafnya di sisi
undang-undang negara tanpa sebarang driskiminasi kaum, gender mahupun kedudukan
(status sosial).
Oleh itu,
keadilan merupakan elemen penting dalam menegakkan kedaulatan
undang-undang.Kuasa kedaulatan dalam konteks undang-undang adalah merujuk
kepada autoriti perundagan ynag paling tinggi iaitu Perlembagaan Negara. Badan
untuk menegakkan kedaulatan undang-undang pula dijamin pula oleh institusi
kehakiman yang bebas dan berwibawa. Ini penting bagi menjamin kebebasan asasi
semua warganegara Malaysia.
Namun, kebebasan
asasi tidak bermakna kita bebas melakukan apa sahaja sehingga melanggar
undang-undang dan Perlembagaan Negara. Misalnya, adalah menyalahi undang-undang
dan Perlembagaan Negera apabila ada pihak yang mahu menggulingkan kerajaan sama
ada dengan kekerasan atau dengan cara-cara yang tidak menurut Perlembagaan
kerana ia bukan termasuk dalam pengertaian kebebasan dan hak asasi. Didalam
Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyebut bahawa undang-undang
menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam dan
sebagainya.
5) KESOPANAN DAN KESUSILAAN
Prinsip ini
mempunyai kaitan yang rapat dengan perkembangan dan pembangunan personaliti
individu yang seharusnya dibina sejak kecil lagi. Prinsip ini juga berkait
rapat dengan nilai-nilai moral dan akhlak masyarakat. Prinsip ini mesti menjadi
panduan seluruh masyarakat supaya perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan
berkembang sesuai dengan kemajuan dan pembangunan tamadun negara yang
berasaskan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni.
Kehidupan yang
bersusila dan bersopan santun amat penting dalam konteks perhubungan etnik,
terutama dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Dalam konteks ini,
setiap warga negara sewajarnya tahu menghormati orang lain dengan mengawal diri
daripada membangkitkan persoalan-persoalan sensitif kepada sesuatu kaum
berkaitan kewarganegaraannya, asal keturunannya, bahasa, kebudayaan serta
kepercayaan dan agam yang dianutinya.
Kerajaan amat
prihatin untuk membentuk masyarakat yang bersopan santun, berdisiplin dan
bermoral tinggi. Justeru, kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni yang dianjurkan
kerajaan adalah bertujuan mewujudkan sebuah masyarakat yang memiliki sifa-sifat
mulia, beradab, bersopan santun, bertoleransi, saling memahami dan cintakan
kedamaian. Ia selari dengan prinsip kelima Rukun negara itu.
Kesimpulan, Rukun
Negara harus dilihat sebagai ‘internal cohesion’ atau kuasa dalaman yang dapat
mengikat perpaduan dan semangat patriotisme di kalangan rakyat. Objektif dan
prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara itu masih releven untuk membentuk
jati diri dan keperibadian rakyat.